jeudi, novembre 4, 2010  
parent Home Events Membership About us Kampong Echo Latest news Contact us

>>> You are here : NEW YEAR MESSAGE TO MALAYSIANS IN FRANCE FROM DATO S. THANARAJASINGAM

Archives
 
Notice board
 
 
 
 
 
 
matrade
mas
 
ont
 
dk-schwizer

yokohama battery

 

logo

UCAPAN TAHUN BARU KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA DI PERANCIS

Daripada Dato’ S. Thanarajasingam, Duta Besar Malaysia ke Perancis

Saudara dan Saudari,

Sempena menyambut tahun baru 2010, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mewakili semua kakitangan di Kedutaan Besar Malaysia di Paris dalam mengucapkan selamat menyambut tahun baru.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada segala sumbangan, kerjasama dan maklumbalas yang dihulurkan oleh saudara dan saudari di Perancis pada sepanjang tahun 2009.

Saudara dan Saudari,

Setahun telahpun berlalu, dan dalam tempoh tersebut kita telah menyaksikan kemelesetan ekonomi dunia yang paling teruk pernah dialami sejak ‘Great Depression’ pada 1920-an di mana semua negara tidak kira samada negara maju, membangun ataupun miskin telah terjejas. Ini telah memberi cabaran yang hebat kepada semua Kerajaan, termasuk Kerajaan Malaysia dalam usaha membangunkan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia.

Namun demikian, saya yakin dasar-dasar yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan, termasuk kedua-dua pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM67 bilion, akan membantu menjanakan ekonomi berpendapatan tinggi di Malaysia. Pakej tersebut telahpun memberi kesan yang positif di mana ekonomi Malaysia telah mencatatkan penguncupan lebih kecil sebanyak 1.2% pada suku ketiga 2009.

Saudara dan Saudari,

Pada tahun 2009 juga, kita amat bertuah kerana diberi peluang untuk berjumpa dengan YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia semasa Rumah Terbuka Hari Raya 1Malaysia yang dihoskan oleh beliau pada 4 Oktober 2009 di Paris. Majlis tersebut telah dikunjungi oleh lebih daripada 950 orang para tetamu Malaysia dan Perancis. Ia merupakan perhimpunan rakyat Malaysia yang terbesar pernah diadakan di Paris. Apa yang membanggakan adalah ia turut dihadiri oleh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, jelas mencerminkan perpaduan negara tidak hanya dimiliki di dalam negara tetapi juga oleh rakyat Malaysia di luar negara.

Lawatan YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada April 2009, ke Perancis merupakan lawatan rasmi beliau yang pertama di luar Asia. Ini jelas menunjukkan keakraban perhubungan di antara Malaysia dan Perancis.

Selain dari itu, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri juga telah mengadakan lawatan ke Perancis pada bulan Jun 2009 turut merupakan lawatan pertama beliau ke luar negara selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran.  Semasa di Perancis, beliau juga telah mengadakan perjumpaan dengan rakyat Malaysia terutamanya para pelajar serta mengadakan sesi dialog.

Disamping itu juga, SPB Yang di-Pertuan Agong juga telah beberapa kali melawat Perancis pada tahun 2009. Terdapat juga beberapa lawatan di peringkat Menteri termasuk lawatan YB Menteri Pelancongan, YB Menteri Pengajian Tinggi, YB Menteri Pengangkutan, YB Menteri Pertahanan dan YB Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Hasil daripada lawatan YAB Perdana Menteri ke Perancis, Puan Christine Lagarde, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Industri dan Pekerjaan serta En. Herve Morin, Menteri Pertahanan telah mengadakan lawatan ke Malaysia pada bulan November dan Disember 2009. Semua lawatan-lawatan tersebut menunjukkan perhubungan Malaysia-Perancis yang semakin erat dan meluas di dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, pertahanan dan pelancongan.

Selain daripada lawatan-lawatan tersebut, Kedutaan Besar Malaysia di Paris telah mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang tahun 2009. Ini termasuk :

  1. Hari Keluarga sempena Hari Keputeraan DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong pada bulan Jun;
  2. Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Oktober;
  3. Resepsi Hari Kemerdekaan pada bulan Oktober di Lyon;

Dalam hal ini, saya dengan berbesar hati ingin memaklumkan bahawa untuk tahun 2010, Kedutaan Besar Malaysia mempunyai perancangan untuk terus menganjurkan aktiviti-aktiviti tersebut termasuk Hari Keluarga dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Oleh yang demikian, saya berharap tuan-tuan dan puan-puan merujuk laman web Kedutaan (www.kln.gov.my/perwakilan/paris) dari masa ke semasa untuk mendapatkan maklumat yang selanjutnya.

Saudara dan Saudari,

Tahun 2009 akan meninggalkan kita dan 2010 pula akan bermula. Semoga tahun 2010 akan menjadi tahun yang lebih progresif dan cemerlang bagi kita semua. Terus kibarkan Jalur Gemilang dan semangat 1Malaysia serta menjadi warganegara yang dikagumi dan dicontohi.

Tatkala saya membuat persiapan meninggalkan Perancis dan menamatkan penggal perkhidmatan saya di sini, saya dan isteri saya Saradha ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas sokongan dan persefahaman di sepanjang tempoh 3 setengah tahun saya bertugas di Perancis.

Sekian, terima kasih.

DATO’ S. THANARAJASINGAM
30 Disember 2009

 

 

Top